Saturday 9 July 2011

Selamat Datang

 Pihak JP@PUO mengucapakan Selamat Datang kepada pelajar-pelajar baru bagi sesi Julai 2011. Semoga dengan kehadiran pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar senior dapat memberikan seri dan kerjasama dalam aktiviti yanag bakal dijalankan oleh Pihak Kelab JP dan JP@PUO.

Saturday 5 March 2011

AMANAT TAHUN 2011 - KETUA PENGARAH JABATAN PENGAJIAN POLITEKNIK

AMANAT TAHUN BAHARU 2011 YBRS. TN. HJ. MD NOR B. YUSOF KETUA



PENGARAH JABATAN PENGAJIAN POLITEKNIK DEWAN SRI SEROJA PERSIARAN DIPLOMATIK, P15 PUTRAJAYA JAM 9.00 PAGI, ISNIN, 31 JANUARI 2011.



WARGA BERINOVASI PEMACU TRANSFORMASI


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya kita diberi peluang untuk melangkah ke tahun baharu 2011, tahun pertama, dekad kedua dalam milenium baharu ini. Sesungguhnya saya merasa bertuah bertemu tuan-tuan dan puan-puan yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik 2011.

Rasanya masih belum terlambat saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga Jabatan Pengajian Politeknik dan seluruh warga Politeknik. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan telah mengorak langkah menyambut tahun baharu ini dengan azam, semangat baharu dan kesediaan untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Tahun ini merupakan kali pertama saya menyampaikan amanat tahun baharu selaku Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi. Saya mengharapkan tuan-tuan bersama saya melaksanakan agenda yang dirancang dan menunaikan segala amanah serta tanggungjawab yang telah disandarkan ke atas kita.

Tahun 2011 adalah permulaan yang mencabar bagi JPP kerana kita mempunyai sembilan tahun lagi untuk merealisasikan Wawasan 2020. Kita juga berada di permulaan RMKe�10 dan telah bersama-sama mengharungi tahun pertama perjalanan Transformasi Politeknik.

Agenda Transformasi Politeknik telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 25 Februari 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Proses Transformasi Politeknik merangkumi penjenamaan semula politeknik yang sedang rancak dilaksanakan di setiap peringkat organisasi. Hasil yang ingin dicapai ialah politeknik sebagai institusi pilihan (the preferred institution), graduat yang mempunyai kemahiran kebolehdayaan diambil bekerja (employability skills) serta berdaya keusahawanan (enterprising) yang tinggi; dan persepsi positif masyarakat awam terhadap pengajian di politeknik.

Seperti yang semua maklum, pelaksanaan Transformasi Politeknik dilakukan dalam empat fasa. Kita sekarang ini berada dalam fasa pertama Transformasi Politeknik iaitu Quick Wins dan Institutional Transformation. Dalam fasa pertama ini, kita telah diberi hala tuju baharu politeknik. Hala tuju ini telah diterjemahkan dalam fungsi Bahagian di Jabatan dan juga di Politeknik. Penstrukturan semula organisasi bermula di Jabatan dan kemudiannya di politeknik. Kita juga telah mengkaji semula program-program yang ditawarkan mengikut kekuatan Politeknik masing-masing selaras dengan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara. Dalam masa yang sama, kita tidak lupa untuk mengatur strategi bagi meningkatkan penghasilan graduat politeknik yang berkualiti, serta mampu berdikari melalui program pendidikan dan latihan yang transformasional, bagi memenuhi keperluan tenaga kerja global.

Hasil yang kita harapkan dari pelaksanaan fasa pertama ini ialah:

Pertama, agar semua warga politeknik dapat menghayati sepenuhnya peranan baharu politeknik; Kedua, agar budaya kerja cemerlang dapat dipupuk dan dikekalkan; Ketiga, imej baharu politeknik dapat ditonjolkan agar kita mencapai reputasi yang setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Jika diimbas kembali pencapaian setakat ini, kita telah melakukan perencanaan yang rapi dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama bagi kesemua dua puluh tujuh politeknik. Kita telah melaksanakan road show bagi menyebar luas mesej transformasi kepada keseluruhan warga politeknik. Kita juga telah membangunkan satu aplikasi yang memantau pencapaian setiap politeknik dalam satu sistem yang dinamakan POLY-PMO. Sekarang ini, semua politeknik harus memberi tumpuan ke arah pencapaian sasaran yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan Transformasi dapat dilaksanakan secara berfokus.

Tahun 2010 menyaksikan quick wins pertama dicapai iaitu apabila tiga politeknik diberi taraf sebagai Politeknik Premier. Quick wins ini bertujuan untuk menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan - setanding dengan universiti. Sehingga kini, tiga Politeknik Premier telah menjalankan program pengajian pada peringkat Diploma Lanjutan. Dalam masa yang sama, Politeknik Premier sudah mula menerima lebih ramai pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang iaitu sehingga 9A peringkat SPM.

Kita juga telah menerima makluman bahawa pensyarah kita mula mendapat pengiktirafan peringkat ikhtisas dengan beberapa orang menganggotai jawatankuasa dalam Malaysian Society for Engineering and Technology (mSET). Selain itu, pada tahun 2010 pelajar politeknik telah memenangi anugerah dalam pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan seperti memperolehi tempat ketiga dalam pertandingan 15th FIRA Robot World Cup Bangolore, India dalam kategori Robot MiroSot 5 Vs 5, menjadi johan dalam Rope Climbing Robot dalam Malaysian University Robot Competition 2010, mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Autodesk Malaysia Design 2010 dan menjadi johan Pertandingan 4th FIRA Malaysian Cup 2010 peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan kepada mereka yang mengharumkan nama politeknik.

Di samping itu, politeknik juga telah memperhebatkan jalinan kolaborasi dan perkongsian pintar dengan pihak industri seperti NGV Tech, MAS, Faber, Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE) dan KFC Holdings. Di politeknik-politeknik selain daripada Politeknik Premier juga, beberapa kolaborasi dan perkongsian pintar telah dilaksanakan dengan organisasi dan syarikat seperti UBS, Intel, Northern Corridor Implementation Agency (NCIA), Agro Bank, PERDA, Malaysian Timber Industry Board (MTIB), Halal Industry Development Corporation (HDC), Siemens dan lain-lain. Semuanya bertujuan untuk meningkatkan imej dan visibility politeknik dalam kalangan institusi pengajian yang mempunyai tautan kukuh dengan pihak industri.

Satu lagi lembaran baru sejarah politeknik telah bermula dengan pengoperasian Politeknik Metro. Pengambilan pertama pelajar Politeknik Metro telah dilaksanakan pada 17 Januari 2011 yang lalu di premis sementara iaitu di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Politeknik ini menawarkan satu program Diploma Pengurusan Peruncitan. Dalam perancangan, Politeknik Metro akan ditubuhkan di Johor Bahru dan Kuantan dalam masa terdekat ini. Secara umum, Politeknik Metro merupakan politeknik yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan program berbentuk perkhidmatan. Dengan wujudnya Politeknik Metro, ianya dapat meningkatkan akses Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) kepada lepasan SPM dan golongan yang bekerja untuk belajar secara sepenuh masa atau separuh masa. Pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL) akan dilaksanakan menjelang 2012 di Politeknik Metro.

Hadirin sekalian,

Kita percaya, untuk menghasilkan graduat berkualiti yang mampu berdikari, beberapa atribut perlu ada pada setiap graduat politeknik iaitu berketrampilan, berilmu, bertanggungjawab dan amanah. Berketrampilan kerana kita mahu pelajar-pelajar kita bersedia untuk menerobos pasaran pekerjaan di mana sahaja terdapat peluang. Berilmu kerana negara memerlukan pekerja yang berpengetahuan (K-Workers) selaras dengan keperluan program Transformasi Ekonomi Negara. Bertanggungjawab dan amanah kerana kedua-dua atribut ini perlu disemat dan diamalkan sebagai sebahagian daripada etika kerja cemerlang. Selain daripada itu, graduat kita harus dibekalkan dengan skill sets bagi menempuhi cabaran abad ke 21 ini. Antaranya, ialah pengetahuan teknikal (technical know-how), daya tahan (resilience), kelenturan (flexibility), kolaborasi, penyelesaian masalah (problem solving), komunikasi dan pengalaman antarabangsa (international experience).

Dengan pemerolehan atribut dan skill sets tersebut, imej baharu pelajar politeknik akan terserlah. Kita akan mencapai reputasi yang setanding dengan institusi pengajian tinggi lain kerana graduat kita mampu bersaing dan sedia diterima oleh para majikan dari pelbagai industri tempatan, serantau dan peringkat global.

Dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), 45% atau 1.5 juta dari 3.3 juta peluang pekerjaan yang akan diwujudkan menjelang 2020 adalah dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional dan teknikal. Daripada 1.5 juta tersebut, politeknik menyasarkan sebahagian besar graduat yang dihasilkan untuk menampung keperluan tenaga kerja dalam 11 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Dalam Amanat YB Menteri Pengajian Tinggi 2011 pada 17 Januari 2011, Politeknik diberi perhatian khusus untuk menangani perubahan ekosistem pengajian tinggi negara yang bukan sahaja memerlukan modal insan berilmu tinggi tetapi juga berkemahiran tinggi. Negara kita perlu meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23% kepada 37% menjelang tahun 2015. Justeru, TVET perlu diarusperdanakan sebagai langkah merealisasi sasaran negara. Ini termasuk membetulkan pandangan masyarakat terhadap imej TVET. Selain itu, laluan pendidikan dan latihan bidang TVET dibangunkan daripada peringkat menengah tinggi sehingga peringkat pengajian tinggi.

Seperti yang diumumkan oleh YB Menteri, KPT telah memutuskan untuk mengembalikan peranan asal keempat-empat universiti teknikal sedia ada iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Ini akan meluaskan peluang pelajar politeknik bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda di samping menjadi feeder kepada empat IPTA di bawah jaringan Malaysia Technical University Network (MTUN). Bagi memberi laluan berterusan, politeknik akan mewujudkan artikulasi dengan John Moores University dan melaksanakan program berkembar dengan Taylor�s University bagi program Hospitaliti yang diartikulasikan pula dengan Toulouse University di Perancis.

YB Menteri juga menekankan bahawa Politeknik wajar menawarkan program-program baharu sejajar dengan keperluan Economic Transformation Programme (ETP). Sehubungan itu, politeknik akan merancang pelaksanaan program-program berkaitan oil and gas technology, oleochemical engineering, e-tourism, landscape dan biotechnology pada tahun 2011. Ini merupakan penambahan kepada program yang telah dirancangkan sebelum ini seperti Pengurusan Fasiliti, Kejuruteraan Mekanikal (Automasi), Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk Pembuatan Automatif), Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk Produk), Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal), Pengurusan Acara dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Institusi politeknik negara juga akan terus melalui fasa pemantapan dan pembaharuan sesuai dengan kedudukannya sebagai peneraju dalam pengajian TVET. Dengan menyasarkan pengeluaran seramai 680,000 orang pekerja mahir di peringkat diploma dengan mengambil kira sumbangan institusi lain termasuk dari swasta, negara memerlukan 11 buah lagi politeknik baharu iaitu penambahan tiga (3) buah politeknik konvensional, lapan (8) politeknik metro selain enam (6) buah politeknik yang dinaik taraf supaya dengan itu, kita boleh menampung enrolmen seramai 150,000 orang setahun.

Seiring dengan amanat YB Menteri, saya telah mengenalpasti beberapa strategi yang perlu dilaksanakan sepanjang 2011. Empat aspek utama perlu diberi tumpuan, iaitu; program, struktur, kualiti dan tadbir urus institusi.

Aspek program :

Kajian yang dibuat oleh pihak EPU menekankan Malaysia masih lagi ketinggalan daripada aspek bilangan tenaga kerja mahir berbanding dengan beberapa buah negara maju. Pada tahun 2008, peratusan tenaga kerja mahir adalah 25.9 peratus iaitu lebih rendah daripada negara-negara lain seperti Ireland (38.9%), Australia (42.9%), Finland (44.5%) dan Singapura (52.8%). Kajian yang sama juga menunjukkan bidang-bidang yang menyumbang kepada pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 seiring dengan Model Baru Ekonomi ialah kewangan (31%), pelancongan (25%), perniagaan (13.8%), elektrik dan elektronik (8.8%), penjagaan kesihatan (6.4%), pemborongan dan peruncitan (5.6%), telekomunikasi (3.9%), pertanian (2.9%), kelapa sawit (1.9%) dan Oil and Gas Teknologi (0.9%). Buat masa ini, nisbah graduat yang dihasilkan di politeknik mengikut bidang ialah, kejuruteraan (40%), elektrik dan elektronik (25%), perdagangan (20%), hospitaliti (5%) dan teknologi maklumat (7%) dan lain-lain (3%) yang merangkumi industri makanan, perkapalan, reka bentuk dan penyelenggaraan pesawat. Jika dibandingkan nisbah tersebut, jelas menunjukkan, politeknik perlu melakukan penjajaran semula penawaran program pengajian baharu bagi memenuhi keperluan Model Baharu Ekonomi dalam masa terdekat dan mempakej semula program sedia ada seiring dengan keperluan industri masa kini dan masa hadapan.

Di samping itu, politeknik akan terus mengekalkan kolaborasi dengan pihak industri bagi meningkatkan kerelevanan program pengajian di politeknik melalui ikatan MoU. Antaranya MoU berkaitan dengan program pentauliahan profesional (3P) yang membolehkan pelajar-pelajar politeknik memperolehi pensijilan profesional dari industri seperti CISCO, Computing Technology Industry Association USA (CompTIA), AutoDesk, EC-Council, Microsoft dan Adobe. Hasil daripada pensijilan ini, 75% pelajar yang mengikuti kursus ini telah memberi maklum balas yang mereka sudahpun mendapat pekerjaan di pelbagai syarikat termasuk di syarikat multinasional.

Sejajar dengan ETP, langkah-langkah dan pemantapan program keusahawanan di politeknik akan dilaksanakan mulai tahun 2011 hingga 2015. Antara lain, ia bertujuan untuk memperkasa dan mempergiatkan peranan dan fungsi pusat keusahawanan di politeknik. Program Intervensi Awal di semua politeknik akan dilaksanakan pada setiap kali pendaftaran pelajar baharu di politeknik untuk menentukan kecenderungan keusahawanan pelajar. Selain daripada itu, jalinan kolaborasi dengan agensi berkaitan seperti TEKUN, MEDEC, MARA, Koperasi, Majlis Kerajaan Tempatan, Koperasi Peniaga, SME, Dewan Perniagaan dan usahawan kecil akan dipertingkatkan.

Aspek kualiti

Antara usaha aspek kualiti ialah penjajaran konstruktif kurikulum, penyampaian dan pentaksiran. Tujuan utama inisiatif ini ialah untuk memastikan penghasilan graduat politeknik melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Melalui pendekatan berasaskan Outcome-Based Education (OBE) sejajar dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia, politeknik perlu mengukuhkan kerelevanan dan keresponsifan program yang ditawarkan. Pendekatan OBE memerlukan anjakan daripada pembelajaran berpusatkan pensyarah kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Kefahaman yang mendalam dalam kalangan seluruh warga pensyarah politeknik mengenai OBE perlu dihayati sepenuhnya agar pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dilaksanakan.

Di samping itu, politeknik sedang memperkasakan sistem pentaksiran bagi meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan pentaksiran. Penambahbaikan sistem pentaksiran politeknik melibatkan pembentukan Jawatankuasa Pentaksiran, penilaian item pentaksiran Peperiksaan Akhir oleh panel luar (Universiti & Industri), penyemakan kertas jawapan oleh Penilai Kedua, pembangunan rubrik hasil pembelajaran, pembangunan sistem rekod dan data peperiksaan, penyemakan semula polisi pentaksiran, peraturan-peraturan dan arahan-arahan peperiksaan, dan pelaksanaan pencetakan kertas peperiksaan akhir secara berpusat.

Bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan berkesan, pensyarah perlu melalui program latihan pembangunan tenaga pengajar dan pentauliahan profesional. Sehingga kini, kita telah memperkenalkan program pembangunan profesionalisme melalui peningkatan ilmu akademik, pembangunan profesionalisme seiring kriteria kecemerlangan Skim PPPT dan peningkatan kemahiran dan kepakaran. Seramai 25,361 orang telah mengikuti pelbagai program pembangunan sumber manusia di bawah program Rancangan Malaysia Ke-9 dengan perbelanjaan RM 42 juta. Pada tahun 2010, seramai 233 pegawai telah menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi, 4,385 warga politeknik telah mengikuti program pembangunan profesionalisme seiring kriteria kecemerlangan dan 767 pegawai telah mengikuti program peningkatan kemahiran dan kepakaran.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, inisiatif Penarafan Politeknik telah diumumkan dan diberi nama PolyRATE. Ianya sedang giat dibangunkan oleh panel perunding yang terdiri daripada pakar akademik IPTA yang bertanggungjawab membangunkan SETARA 2009 bagi IPTA. Bagi tujuan tersebut, proses penandaarasan dilakukan dengan mengambil kira pengenal pastian standard politeknik di Malaysia. Urusan penarafan akan dilaksanakan tidak lama lagi. Diharap warga politeknik dapat memberi kerjasama bagi melancarkan proses penarafan ini. Kita menjangkakan keputusan penarafan akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

Aspek struktural Politeknik digalakkan untuk melaksanakan jadual waktu kuliah secara anjal seperti mana yang diamalkan oleh institusi pengajian tinggi yang lain. Usaha ini perlu dilakukan dengan teliti supaya aspek keselamatan pelajar, fasiliti dan keselesaan tenaga pengajar dapat dijamin secara optimum, di samping meningkatkan enrolmen atau kapasiti di politeknik tersebut. Buat masa ini, kita mencadangkan waktu anjal ini dihadkan antara jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Antara hasrat transformasi politeknik adalah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang transformasional dan kondusif kepada pelajar. Pihak pengurusan politeknik disaran mengambil langkah inovatif bagi mengubah suai sistem pengurusan pelajar sedia ada agar tidak berorientasikan sistem sekolah. Satu anjakan perlu dilakukan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menepati ciri-ciri sistem pengajian di universiti. Sebagai contoh, pelaksanaan jadual waktu yang rigid pada masa kini harus diubah menjadi lebih fleksibel dengan mengambil kira kebijaksanaan pelajar mencartakan haluan mereka ke arah memperolehi diploma. Pelajar harus diberi kebebasan untuk memilih kursus berdasarkan jadual sepanjang program pengajian yang mereka ikuti. Usaha ini selaras dengan konsep OBE yang menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar (student centred learning).

Aspek Tadbir Urus Mulai 24 November 2010, Jabatan Pengajian Politeknik telah distruktur semula dengan pengenalan dua bahagian baharu iaitu Bahagian Perancangan Makro dan Bahagian Pengurusan Prestasi serta menjumudkan Bahagian Pembangunan Akademik. Tujuan penstrukturan semula ialah bagi menyesuaikan fungsi jabatan dengan hala tuju transformasi politeknik. Dalam masa yang sama, pihak jabatan telah pun mengemukakan permohonan penstrukturan politeknik yang diberi taraf premier kepada Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi meningkatkan keupayaan pengurusan politeknik premier, kajian akan dibuat untuk memberi kuasa separa autonomi untuk mengukuhkan sistem tadbir urus politeknik tersebut. Antara bidang yang dikaji untuk diberi autonomi ialah pemilihan pelajar, penawaran dan pembangunan program dan penurunan kuasa berbelanja.

Pada tahun 2009, seramai 1,328 warga Politeknik, Kolej Komuniti dan KPT telah menerima kenaikan pangkat, iaitu dalam tempoh interim setelah skim PPPT diperkenalkan. Pada 19 Oktober 2009, kriteria kenaikan pangkat berasaskan kecemerlangan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Susulan itu, permohonan kenaikan pangkat bagi PPPT telah diiklankan pada 31 Disember 2009 dan ditutup pada 1 Mac 2010. Proses ini sekarang adalah sebahagiannya di peringkat BPSM KPT dan sebahagiannya di peringkat JPA. Adalah dijangka bahawa PPPT yang memohon kenaikan pangkat akan mengetahui keputusannya dalam suku pertama atau kedua tahun ini.

Saya ingin tekankan di sini, bahawa kriteria dalam skim ini menuntut pemupukan budaya kerja cemerlang dalam kalangan PPPT dan ia merupakan satu lonjakan ke hadapan ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan pihak majikan atau industri. Skim ini menjanjikan laluan kenaikan pangkat berdasarkan kecemerlangan, bukan sekadar kekananan. Umumnya, bagi semua PPPT, mereka hendaklah mengubah mindset ke arah pemupukan budaya kerja yang cemerlang demi mempertingkatkan kompetensi dan profesionalisme dalam melonjakkan imej politeknik di mata masyarakat. Jika dahulu, mereka memfokuskan kepada aspek pengajaran sahaja, kini mereka perlu mentransformasikan diri ke arah teaching and beyond. Dalam konteks ini, PPPT kategori 1 hingga 4, sama ada di politeknik atau JPP perlu mengamalkan multiskilling dan multi-tasking. Hanya dengan amalan ini sahaja kita mampu mempertingkatkan diri dan organisasi kita ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, sehingga kini, 1,716 permohonan PPPT telah diproses untuk kenaikan pangkat mengikut kriteria dalam tahun 2010 iaitu ke gred DH 44 hingga Di samping itu, 420 PPPT gred DH 34 dan ke bawah telah diproses untuk pertimbangan ke gred lebih tinggi. Kepada mereka, saya ucapkan semoga berjaya. Semoga dengan kenaikan pangkat tersebut akan menyemarakkan semangat dan usaha anda untuk terus komited dan terus memberikan khidmat kelas pertama walau di manapun anda ditempatkan.

Politeknik harus mengukuhkan peranan dan tanggungjawab sosial mereka dalam pemuliharaan alam sekitar. Sehubungan itu, pelbagai aktiviti berasaskan Corporate Social Responsibility (CSR) harus dilaksanakan demi meningkatkan imej dan visibility politeknik. Di sini, Pegawai Perhubungan Awam Politeknik memainkan peranan yang penting bagi memastikan pelaksanaan program berkaitan dengan kitar semula, kampus tanpa plastik, pengguna sumber tenaga secara berhemah dan pelaksanaan amalan 3R (Reuse � penggunaan semula, Reduce � pengurangan dan Recycle � kitar semula). Oleh itu, semangat gotong-royong, kerja berpasukan, sukarelawan dan keserakanan boleh diterapkan dan menjadi amalan warga politeknik.

Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati, seperti yang terpateri dalam slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Menerusi Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Jabatan Pengajian Politeknik tidak ketinggalan dalam memberi fokus terhadap pelaksanaan semua aktiviti yang berpaksikan kepada hasil dan pencapaian. Dalam tahun 2011 pihak Jabatan telah menetapkan sebanyak 18 sasaran yang perlu dicapai. KPI yang dipilih merupakan petunjuk kemajuan yang akan memacu Jabatan ke arah hala tuju negara seiring dengan Agenda Utama Negara seperti Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi Negara.

Sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu dalam bidang TVET akan diwujudkan menjelang 2020. Peranan politeknik adalah untuk menjana modal insan melalui penyediaan akses kepada program berkualiti yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang rancak. Asas pertumbuhan ini akan berpacukan inovasi dan produktiviti. Inovasi memberi tambah nilai kepada semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Produktiviti pula bergantung kepada keberkesanan sistem dan organisasi serta kualiti pekerja dalam sektor industri. Cabaran kepada politeknik adalah untuk kita menghasilkan ciri modal insan yang memenuhi kriteria pekerja yang berkualiti. Pihak Kementerian dan Jabatan telah merencanakan usaha ini. Kita perlu melaksanakannya sebaik mungkin. Warga politeknik perlu bersama-sama menggembeling tenaga dalam satu haluan dan dengan satu kesedaran bahawa tanggungjawab kita amat penting. Agenda negara tidak dapat direalisasikan jika kita gagal melaksanakan segala inisiatif yang telah dirancangkan. Generasi anak-anak kita mungkin tidak dapat menikmati kesenangan yang kita idam-idamkan. Sama-samalah kita fikir, renung dan jayakan segala inisiatif yang telah dikenal pasti.

Sehubungan itu seperti mana yang disarankan oleh Yang Berusaha Ketua Setiausaha, KPT, kita perlu mengubah keseluruhan inisiatif dan tindak tanduk kita. Budaya kerja baru perlu wujud dan semua pihak mesti bersama meningkat, melestari dan menghayati segala perancangan selain akur dengan tanggungjawab masing-masing. Organisasi yang kuat akan menjadikan setiap warganya berwibawa dan teguh. Warga politeknik adalah aset yang paling berharga dan perlu dibangunkan sekukuhnya. Andalah yang menentukan jatuh bangunnya agenda transformasi kita ini.

Sebelum mengakhiri amanat ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina yang akan kunjung tiba kepada mereka yang menyambutnya. Kepada mereka yang menganjurkan majlis ini, saya mengucapkan terima kasih. Saya bersyukur majlis ini berjalan dengan lancar dan saya doakan tuan-tuan pulang dengan iltizam dan semangat baru yang membara.

Sekian Terima kasih. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Disediakan oleh Bahagian Pembangunan Dasar Jabatan Pengajian Politeknik

Salam dari Sidang Editor

Salam Sejahtera kepada semua pembaca Blog Rasmi Jabatab Perdagangan PUO.
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Illahi dapatlah kami membina blog rasmi ini sebagai satu alternatif menyampaikan maklumat kepada warga JP@PUO. Kami merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang sudi mengikut dan menjadi 'follower' blog ini. Sebarang idea, perkongsian, cadangan atau apa-apa sahaja boleh di emailkan ke jppuo@yahoo.com atau jpdis2010@hotmail.my

Regards,
Ketua Editor.

Pengenalan Kepada Jabatan Perdagangan Politeknik Ungku Omar

Jabatan Perdagangan Politeknik Ungku Omar  diperkenalkan mulai  tahun 1971 dengan menawarkan dua program iaitu  Program Diploma Akauntansi dan Sijil Pengajian Perniagaan.  Kemudian diikuti oleh Program Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Kewangan dan Perbankan. Mulai Julai 2007, Jabatan Perdagangan telah memperkenalkan program baru iaitu Diploma Pengurusan Peruncitan diikuti Diploma Kewangan dan Perbankan Islam pada Julai 2009.
Bilangan pensyarah setakat ini adalah seramai 65 orang. Seramai 40 orang pensyarah memiliki ijazah sarjana manakala selebihnya berkelulusan ijazah sarjana muda dari universiti dalam dan luar negara. Jumlah pelajar semasa di jabatan ini adalah lebih kurang 1,200 orang. Jabatan Perdagangan dilengkapi dengan bilik makmal komputer, bilik simulasi peruncitan, pusat kegiatan pelajar, koperasi, dewan kuliah dan bilik tutorial.

VISI
Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang Kejuruteraan, Perdagangan dan Teknologi Maklumat serta berazam melahirkan graduan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
MISI
Menghasilkan tenaga kerja separa profesional dan profesional yang berkualiti bagi menampung keperluan sektor awam dan swasta di Malaysia.
OBJEKTIF KUALITI
KECEMERLANGAN AKADEMIK
1.Memastikan kadar kelulusan bagi setiap program tidak kurang daripada 90% bagi setiap semester.
2.Berusaha memastikan sekurang-kurangnya 25% daripada pelajar yang lulus mencapai PNM 3.00 atau lebih untuk setiap program bagi setiap semester.
KECEMERLANGAN STAF
1.Memastikan setiap staf menghadiri kursus/menjalani latihan /seminar /bengkel/ persidangan / konvensyen / taklimat sekurang-kurangnya sekali setahun.
2.Memastikan Jadual Perancangan Latihan Staf dilaksanakan sekurang-kurangnya 85% dalam tempoh setahun.
KECEMERLANGAN PROSES1.Memastikan semua prosedur dilaksanakan dengan berkesan / mencapai petunjuk prestasi yang ditetapkan.

MOTTO
KOMITED UNTUK MENTRANSFORMASIKAN MODAL INSAN BAGI MENCAPAI KECEMERLANGAN PELAJAR DAN STAF.